Showing posts with label Seerah. Show all posts
Showing posts with label Seerah. Show all posts

Saturday, May 8, 2010

"Dia adalah bahagian dari diriku dan aku adalah bahagian dari dirinya"

Terasa hiba di hati ini mengenangkan sabda Rasulullah SAW setelah mendapati Julaibib RA syahid di kelilingi 7 mayat. Baginda mengusap debu2 tanah dari wajah syahid Julaibib RA dan menciumnya sambil menangis dan bersabda:
انت منى وانا منك
"engkau adalah bagian dariku dan aku adalah bagian darimu" (HR Muslim dan Ahmad)

begitulah kasihnya Rasulullah kepada Julaibib dan begitu istimewa dan masyhurnya Julaibib di langit sehingga Rasulullah bersabda sedemikian rupa. Siapakah Julaibib ini yang begitu dikasihi Rasululullah dan penduduk langit... masyaAllah. Mari kita meniti seerah Julaibib RA.

Julaibib, itulah nama yang biasa dipanggil oleh kerana ciri fizikalnya yang kerdil. Nama ini, tentu bukan dia sendiri yang menghendakinya. Tidak pula orang tuanya. Julaibib hadir ke dunia tanpa mengetahui siapa ayah dan bonda nya. Demikian pula, semua orang yakni masyarakat sekelililng ketika itu, semuanya tidak mengenali atau mengetahui, atau tidak mahu mengetahui tentang nasab Julaibib. Bagi masyarakat arab ketika itu, tidak bernasab dan tidak bersuku adalah satu kecacatan sosial.

Julaibib hidup tersisih. Hidup sehariannya bertambah sulit disebabkan oleh fizikalnya yang pendek, berwajah jelek (hodoh) dan berkulit hitam sehingga menyebabkan masyarakat tidak mahu dekat dengannya. Pakaiannya lusuh, kakinya pecah2 kerana tidak beralas. Tidak ada rumah untuk berteduh. Tidur sembarangan berbantalkan tangan, berkasutkan pasir dan kerikil. Minum hanya dari kolam umum yang diceduk dengan tangkupan telapak tangan.


Pernah sekali Abu Barzah, pemimpin Bani Aslam, sampai2 berkata tentang Julaibib, "Jangan pernah biarkan Julaibib masuk di antara kalian! Demi Allah jika dia berani begitu, aku akan melakukan hal yang mengerikan padanya!"

Demikianlah Julaibib.

Namun, jika Allah berkehendak menurunkan rahmatNya, tiada satu makhluk pun yang boleh menghalangiNya. Julaibib menerima hidayah, dan menjadilah dia salah seorang yang sentiasa di shaf paling hadapan dalam solatnya mahupun jihadnya. Walaupun hampir semua orang tetap memperlakukannya seolah2 dia tiada, namun tidak bagi Rasululullah SAW.

Julaibib yang tinggal di shuffah Masjid Nabawi, suatu hari ditegur oleh Rasululullah SAW. "Julaibib", begitu lembut baginda memanggil. "Tidakkan engkau menikah?"

"Siapakah orangnya Ya Rasululullah", kata Julaibib, "yang mahu menikahkan puterinya dengan diriku ini?". Julaibib menjawab dengan tetap tersenyum. Tidak ada kesan menyesali diri atau menyalahkan takdir pada kata2nya mahupun air mukanya.

Rasululullah juga tersenyum. Mungkin memang tidak ada orang tua yang berkenan pada Julaibib. Namun, pada hari berikutnya, ketika Baginda bertemu dengan Julaibib, Rasululullah menanyakan hal yang sama. "Julaibib, tidakkah engkau menikah?". Dan Julaibib menjawab dengan jawapan yang sama. Begitu, begitu, begitu selama 3 kali dan tiga hari berturut2.

Seterusnya, pada hari ketiga itulah, Rasulullah menggamit lengan Julaibib dan membawanya ke salah satu rumah seorang pemimpin Ansar. "Aku ingin", kata Rasulullah pada pemimpin Ansar itu "menikahkan puteri kalian".

"Betapa insafnya dan barakahnya", begitulah si ayah menjawab dengan wajah berseri2, mengira bahawa Rasululullah calon menantunya. "Ooh... Ya Rasulullah, ini sungguh akan menjadi cahaya yang menyingkirkan kegelapan di rumah kami"

"Tetapi bukan untukku", kata Rasululullah, "ku pinang puteri kalian untuk Julaibib"

"Julaibib?" nyaris terpekik ayah si gadis.

"Ya, untuk Julaibib"

"Ya Rasulullah" terdengar helaan nafas yang berat. "Saya harus meminta pertimbangan isteri saya tentang hal ini"

"Dengan Julaibib?", isterinya berkata, "Mana boleh? Julaibib berwajah hodoh, tidak bernasab, tidak berkabilah, tidak berpangkat dan tidak berharta. Demi Allah tidak. Tidak akan pernah puteri kita menikah dengan Julaibib".

Tidak lama kemudian, dari sebalik tirai, anak gadis mereka berkata, "Siapa yang meminta?"
Si ayah dan ibunya menjelaskan.

"Apakah kalian hendak menolak permintaan Rasulullah? Demi Allah, kirim aku padanya. Dan demi Allah, kerana Rasululullah yang meminta, maka tiada akan dia membawa kehancuran dan kerugian bagiku." Lalu, si gadis yang solehah membacakan ayat ini:

"Dan tidaklah patut bagi lelaki beriman dan perempuan beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan lain tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata" (Surah al-ahzab:36)

Seterusnya, Baginda dengan tertunduk mendoakan untuk si gadis yang solehah, "Ya Allah, limpahkanlah kebaikan atasnya, dalam kelimpahan yang penuh barakah. Jangan Engkau jadikan hidupnya payah dan bermasalah.."

Akhirnya mereka hidup bahagia... walaupun dikurniaakan isteri yang solehah dan bertaqwa, namun kebersamaan mereka tidaklah terlalu lama, kerana panggilan jihad dan akhirnya Julaibib syahid dalam peperangan tersebut.

Saat syahid, Rasulullah begitu terasa kehilangannya. Di akhir pertempuran, Rasulullah bertanya kepada para sahabat, "Apakah kalian kehilangan sesiapa?... namun tiada nama Julaibib disebut. Rasulullah bertanya lagi... kali ini wajahnya merah... dan begitulah para sahabat tidak menyebut nama Julaibib.

Rasulullah menghela nafasnya dan berkata "Tetapi aku merasa kehilangan Julaibib!"

Para sahabat tersedar akhirnya.

"Carilah Julaibib!" baginda berkata.

Akhirnya, baginda menemui Julaibib yang terbunuh dalam keadaan tertutup pasir, lalu Baginda membersihkan pasir dari wajahnya dan bersabda sambil menitiskan air mata "Ternyata engkau telah membunuh tujuh orang musuh, kemudian engkau sendiri terbunuh. Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu; Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu; Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu."

Demikianlah kisah seerah Julaibib RA yang kita boleh ambil iktibar. Walaupun Julaibib tidak dikenali di kalangan penghuni bumi (dunia) namun di penghujung hidupnya Allah menganugerahkan kebahagian dan kedamaian dalam hidupnya. Kurniaan Allah kepadanya berupa satu hadiah dan kehormatan yang dianugerahkanNya kepada Julaibib sehingga dia menjadi masyhur di kalangan penduduk langit. Tidakkah kita ingin menjadi seperti Julaibib?

wallahua'lam...

~gambar2 dari deviant Art

Wednesday, October 14, 2009

Ringkasan Riwayat Hidup Al-Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad

Ringkasan Riwayat Hidup Al-Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad


NASAB, KELAHIRAN DAN PEMBESARAN

Beliau bernama Abdullah bin Alawi bin Muhammad bin Ali Al-Tarimi Al-Haddad Al-Husaini Al-Yamani. Beliau (rahimahullah) dilahirkan di Subir sebuah perkampungan berhampiran kota Tarim di Wadi Hadhramaut, selatan negeri Yaman pada hari Ahad 5 haribulan Safar tahun 1044 hijriah bersamaan 30 haribulan Julai tahun 1634 Masehi. Al-Habib telah diasuh dan ditarbiahkan di Kota Tarim. Ketika beliau meningkat umur empat tahun, Al-Habib dijangkiti penyakit cacar yang mengakibatkan kehilangan daya penglihatan. Walaupun demikian, Allah yang Maha Agong lagi Mulia telah menggantikan kepada Al-Habib dengan mata hati (cahaya ilmu dan pengetahuan serta keyakinan dan wilayah). Berasaskan kurniaan ini, Al-Habib telah berusaha dengan penuh dedikasi dan kegigihan menceduk ilmu dari sejumlah besar para ulama’ di Yaman. Cinta beliau terhadap ilmu dan para ulama’ menghasilkan kebolehan menguasai ajaran para ahli tahkik (orang yang mengenali Allah dengan ‘ainul-yakeen serta hakkul-yakeen). Semenjak kecil lagi beliau memaparkan kekuatan usaha ibadat dan kerajinan memuntut ilmu.

Al-Habib pernah berkata “ketika aku masih kecil, aku telah berusaha bersungguh-sungguh untuk beribadat dan melaksanakan pelbagai mujahadah yang lainnya, sehingga ditegur oleh nindaku yang solehah bernama Salma binti Said Al-Wali Omar Ba’Alawi, supaya menjaga diriku. Dia sering berkata demikian jika dikira ibadat serta mujahadah yang aku usahakan dianggap terlalu kuat dan banyak. Sebaliknya aku telah banyak meninggalkan mujahadah semenjak permulaan perjalanan ini semata-mata memelihara hati kedua ibubapaku yang amat prihatin terhadap keadaanku”.

Walaupun Al-Habib (radhiAllahu ‘anhu) sering keluar ke kawasan sekitarnya dan perkampungan di sekeliling Tarim, beliau berkata “aku lebih seronok bersendirian demi kerana Allah kerana alangkah ne’matnya kelazatan (al-uns) bersama dengan Allah”.

Pada permulaan perjalanan hidup Al-Habib, beliau sentiasa menyusuri negerinya untuk bertemu para solihin, menziarahi pusara para ulama’ dan auliya’. Pada masa beliau berada di perkampungannya, beliau sering duduk di sudut ‘Masjid Al-Hijriah’ dan pada waktu malamnya sering bersolat bergiliran di setiap masjid dalam kota Tarim. Sesungguhnya inilah yang membuka hati beliau semenjak kecil lagi. Al-Habib sering membaca Surah Yaasin yang mempengaruhi jiwanya dan menyebabkan beliau menitiskan air mata yang begitu banyak. Keadaan demikian sering mengakibatkan ketidakmampuannya membaca surah yang mulia ini. Inilah yang mendorong Sayyed Abdullah Bilfagih menjelaskan tentang Al-Habib dengan katanya “Disinilah futuh (pembukaan) bagi Al-Habib”.


AKHLAK DAN BUDI PEKERTI

Al-Imam Al-Haddad (rahimahullah) memiliki perwatakan badan yang tinggi, berdada bidang, tidak terlalu gempal, berkulit putih, sangat berhaibah dan tidak pula di wajahnya kesan mahupun parut cacar.

Wajahnya sentiasa manis dan menggembirakan orang lain di dalam majlisnya. Ketawanya sekadar senyuman manis; apabila beliau gembira dan girang, wajahnya bercahaya bagaikan bulan. Majlis kendalian beliau sentiasa tenang dan penuh kehormatan sehinggakan tidak terdapat hadhirin berbicara mahupun bergerak keterlaluan bagaikan terletak seekor burung di atas kepala mereka.

Mereka yang menghadhiri ke majlis Al-Habib bagaikan terlupa kehidupan dunia bahkan terkadang Si-lapar lupa hal kelaparannya; Si-sakit hilang sakitnya; Si-demam sembuh dari demamnya. Ini dibuktikan apabila tiada seorang pun yang yang sanggup meninggalkan majlisnya.

Al-Imam sentiasa berbicara dengan orang lain menurut kadar akal mereka dan sentiasa memberi hak yang sesuai dengan taraf kedudukan masing-masing. Sehinggakan apabila dikunjungi pembesar, beliau memberi haknya sebagai pembesar; kiranya didatangi orang lemah, dilayani dengan penuh mulia dan dijaga hatinya. Apatah lagi kepada Si-miskin.

Beliau amat mencintai para penuntut ilmu dan mereka yang gemar kepada alam akhirat. Al-Habib tidak pernah jemu terhadap ahli-ahli majlisnya bahkan sentiasa diutamakan mereka dengan kaseh sayang serta penuh rahmah; tanpa melalaikan beliau dari mengingati Allah walau sedetik. Beliau pernah menegaskan “Tiada seorang pun yang berada dimajlisku mengganguku dari mengingati Allah”.

Majlis Al-Imam sentiasa dipenuhi dengan pembacaan kitab-kitab yang bermanfaat, perbincangan dalam soal keagamaan sehingga para hadhirin sama ada yang alim ataupun jahil tidak akan berbicara perkara yang mengakibatkan dosa seperti mengumpat ataupun mencaci. Bahkan tidak terdapat juga perbicaraan kosong yang tidak menghasilkan faedah. Apa yang ditutur hanyalah zikir, diskusi keagamaan, nasihat untuk muslimin, serta rayuan kepada mereka dan selainnya supaya beramal soleh. Inilah yang ditegaskan oleh beliau “Tiada seorang pun yang patut menyoal hal keduniaan atau menyebut tentangnya kerana yang demikian adalah tidak wajar; sewajibnya masa diperuntuk sepenuhnya untuk akhirat sahaja. Silalah bincang perihal keduniaan dengan selain dariku.”

Al-Habib (rahimahullah) adalah contoh bagi insan dalam soal perbicaraan mahupun amalan; mencerminkan akhlak junjungan mulia dan tabiat Al-Muhammadiah yang mengalir dalam hidup beliau. Beliau memiliki semangat yang tinggi dan azam yang kuat dalam hal keagamaan. Al-Imam juga sentiasa menangani sebarang urusan dengan penuh keadilan dengan menghindari pujian atau keutamaan dari oramg lain; bahkan beliau sentiasa mempercepatkan segala tugasnya tanpa membuang masa. Beliau bersifat mulia dan pemurah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ciri inilah menyebabkan ramai orang dari pelusuk kampung sering berbuka puasa bersama beliau di rumahnya dengan hidangan yang tidak pernah putus semata mata mencari barakah Al-Imam. Tidak terputus pengunjung bertamu dengan beliau pada bulan mulia ini di rumah perkampungan beliau di Al-Hawi.

Al-Imam menyatakan “Sesuap makanan yang dihadiahkan atau disedekahkan mampu menolak kesengsaraan”. Katanya lagi “Kiranya ditangan kita ada kemampuan, nescaya segala keperluan fakir miskin dipenuhi, sesungguhnya permulaan agama ini tidak akan terdiri melainkan dengan kelemahan Muslimin”.

Beliau adalah seorang yang memiliki hati yang amat suci, sentiasa sabar terhadap sikap buruk dari yang selainnya serta tidak pernah merasa marah. Kalaupun ia memarahi, bukan kerana peribadi seseorang tetapi sebab amalan mungkarnya yang telah membuat Al-Imam benar-benar marah. Inilah yang ditegaskan oleh Al-Habib “Adapun segala kesalahan berkait dengan hak aku, aku telah maafkan; tetapi hak Allah sesungguhnya tidak akan dimaafkan”.

Al-Imam amatlah menegah dari mendoa’ agar keburukan dilanda orang yang menzalimi mereka. Sehingga bersama beliau terdapat seorang pembantu yang terkadangkala melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan kemarahan Al-Imam. Namun beliau menahan marahnya; bahkan kepada si-Pembantu itu diberi hadiah oleh Al-Habib untuk meredakan rasa marah beliau sehinggakan pembantunya berkata: “alangkah baiknya jika Al-Imam sentiasa memarahiku”.

Segala pengurusan hidupnya berlandaskan sunnah; kehidupannya penuh dengan keilmuan ditambah pula dengan sifat wara’. Apabila beliau memberi upah dan sewa sentiasa dengan jumlah yang lebih dari asal tanpa diminta. Kesenangannya adalah membina dan mengimarahkan masjid. Di Nuwaidarah dibinanya masjid bernama Al-Awwabin begitu juga, Masjid Ba-Alawi di Seiyoun, Masjid Al-Abrar di As-Sabir, Masjid Al-Fatah di Al-Hawi, Masjid Al-Abdal di Shibam, Masjid Al-Asrar di Madudah dan banyak lagi.

Diantara sifat Al-Imam termasuk tawaadu’ (merendah diri). Ini terselah pada kata-katanya, syair-syairnya dan tulisannya. Al-Imam pernah mengutusi Al-Habib Ali bin Abdullah Al-Aidarus. “Doailah untuk saudaramu ini yang lemah semoga diampun Allah…”


IBADAH DAN MUJAHADAH

Tiada siapa yang pernah menyatakan Al-Imam bersolat walau satu waktu bersendirian, atau tidak solat di awal waktu, sembahyang dalam situasi yang tergapah-gapah, atau meninggalkan qiamullail. Diantara sifat mulianya Al-Imam ialah tidak berbicara ketika menunggu waktu solat dan amat marah jika ada yang cuba berkata-kata di waktu itu. Bahkan beliau menegahnya serta memberi amaran kepada sahabatnya dari menegurnya ketika waktu tersebut. Inilah yang ditegaskan oleh Al-Imam dengan katanya: “Kami keluar dengan penuh menghadhirkan diri dan meninggalkan segala kerunsingan”.

Dan tegasnya lagi: “Kami tidak bercadang untuk melaksanakan sebarang solat sunat An-Nawaafil (solat sebelum dan selepas sembahyang fardhu) kecuali setelah hati kami benar-benar hadhir dan iqbal (menuju) kepada Allah”.

Al-Imam amat memeliharai amalan solat Ar-Rawaatib. Doa-doa serta wirid-wiridnya yang ma’thur dari amalan Raul S.A.W. termasuk mendirikan solat Ad-Dhuha sebanyak lapan rakaat dan solat Al-Isyraq sebanyak empat rakaat sebelumnya, solat Al-Awwaabin sebanyak dua puluh rakaat selepas sunat maghrib; dimana Al-Imam menyempurnakan empat rakaat sebelum setiap salam. Di waktu subuh pada hari Jumaat, Al-Imam berjemaah solat Fajar di masjid Al-Jame’ seterusnya beri’tiqaf sehingga solat Jumaat demi mendapat keutamaan berawal-awalan untuk solat tersebut.

Al-Imam juga amat sedikit tidur, sekadar merehatkan diri sahaja. Kebiasaan Al-Imam melambatkan solat witir sehingga hampir fajar; ini disebabkan Al-Imam tidur sedikit (qailulah) selepas solat-solat qiamullail. Kemudian barulah berwudu’ untuk solat witir sebelum subuh. Beliau sentiasa berzikir seumpama ‘La ila ha illallah’ yang terlalu banyak jumlahnya sehinggalah tidak pernah berhenti; Al-Imam membiasakan dirinya dengan ini walaupun diundang perbualan dengan sesiapa.

Al-Imam juga memperbanyakkan puasa, terutamanya pada hari yang diutamakan iaitu Isnin dan Khamis, Ayyaamul Baidh (hari ke 13, 14 dan 15 tiap-tiap bulan), hari ‘Asyura; hari ‘Arafah, enam hari dalam bulan Syawwal; sehinggalah terhentinya amalan ini apabila Al-Imam sudah berumur dan lemah.

Adapun pada bulan Ramadhan, Al-Imam telah menjelaskan kepada para sahabatnya “Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan amal, perkurangkanlah/tinggalkan sementara ilmu semata-mata untuk beribadah dalam bulan ini”. Seterusnya dapat dilihat orang-orang yang ramai mengurangan kelas-kelas ilmu kecuali selepas Asar, sebagai peringatan beliau kepada sahabat-sahabat yang utamakan amal bersungguh-sungguh dan membersihkan dalaman (batin).

Walaubagaimanapun Al-Imam tidak pernah menunjuk-nunjukkan amalnya kecuali keadaan memaksakan seperti supaya ianya dijadikan tauladan kepada yang lain. Kata Al-Imam: “tidak aku tonjolkan amalan ini dengan sengaja, walaupun itu Alhamdulillah aku tidak bimbang dari sifat riya’ (disebabkan orang mengetahui amalan aku). Ingatlah sebagaimana Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq menyatakan tentang perkara ini berlandaskan firman Allah (yang bermaksud) “Sama sekali aku tidak memuji diri ini dengan kebaikan, maka ketahuilah sesungguhnya inilah yang mendorongkannya kepada perbuatan buruk”.

Al-Imam juga telah menegaskan: “sesungguhnya aku telah melaksanakan kesemua sunnah Nabi dan tidak ada sunnah yang ditinggalkan, kecuali rambut”. Akhirnya Al-Imam mengekalkan rambut hingga ke telinganya sebagai yang dilaksanakan oleh Rasul S.A.W.

Al-Imam juga sering menziarahi Nabi Allah Hud, selawat dan salam keatasnya dan Nabi kita; dimana makam Nabi Hud terletak di Wadi Hadramaut. Sebanyak tiga puluh kali Al-Imam telah menziarahinya, kesemuanya pada bulan Sya’ban. Al-Imam telah pergi berjalan kaki bersama-sama sanak saudaranya, kaya dan miskin. Kebiasaannya Al-Imam berada dimaqam itu selalunya di waktu maghrib dari 12 haribulan hingga 15 haribulan Sya’ban. Dalam perjalanan ke sana, Al-Imam sering singgah di Ainat untuk menziarah As Syeikh Al-Kabir Abu Bakar bin Salim dan As-Syeikh Ahmad bin Al-Faqih Al-Muqaddam. Al-Imam juga menziarah maqam Basyar selepas solat Asar setiap hari Jumaat dan hari Selasa. Al-Imam menjelaskan: “pada mulanya, kebiasaan kami menziarahi Basyar ialah pada setiap hari Jumaat, tetapi setelah diantara sahabat kami bertemu Al-Faqih Al-Muqaddam dalam mimpinya dimana dia berkata: katakan kepada Al-Sayyed Abdullah Al-Haddad: “Ziarah Basyar pada hari Jumaat sahaja tidak memadai”; maka berdasarkan itu kami menziarahi juga Basyar pada hari Selasa juga”. Sebenarnya sebelum Allah menzahirkan kemuliaannya dan orang ramai berpusu-pusu kepadanya, memanglah Al-Habib menziarahi Basyar setiap hari Selasa.

Semoga Allah merahmati Al-Imam dan menempatkan beliau di Syurga, dan dihimpunkan kita bersamanya dengan berkat Saiyidina Muhammad S.A.W., keluarganya dan sahabatnya serta selawat keatas Nabi Muhammad yang mulia serta keluarga dan sahabatnya.

(Kata-kata diatas ini merupakan sedikit petikan yang diterjemahkan dari bahasa Arab dari kajian dan tulisan Ustaz Haji Muhammad Nooruddin Merbau Al-Banjari dari Kedah. Semoga Allah berkati beliau. InsyaAllah sambungan riwayat Al-Imam dapat dimuatkan dalam ruangan ini.

Terjemahan ini adalah sebahagian dari juz kedua kitab “Hadiah Dari Imam Al-Haddad

Dipetik dari http://www.alhawi.net/MutiraQasidah.htm

Doa Rabitah

اللهم اِنّكَ تَعْلَم اَنّ هَذِهِ القُلُوبَ قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَى مَحَبَّتِكَ وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ وَتَوَحَّدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيعَتِكَ فَوَثِّقِ اللهمَ رَابِطَتَهَا وَاَدِمْ وُدَّهَا وَاهْدِهَ
سُبُلَهَا وَامْلَئَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِي لا يَخْبُو وَاشْرَحْ صُدُورَهَا بِفَيْضِ الاِيمَانِ بِكَ وَجَمِيلِ التَوَكُّلِ عَلَيْكَ وَاحْيِهَا اللهم عَلَى دِينِكَ وَاَمِتْهَا عَلَى الشَهَادَةِ فِي
سَبِيْلِكَ اِنَّكَ نِعْمَ المَوْلَى وَنِعْمَ النَصِيْرِِ

Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah)-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka eratkanlah ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalan-Nya (yang sebenar). Penuhkan hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman / keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan makrifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu. (jika Engkau mentakdrikan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini…